Foto hiasan
Foto hiasan
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan 11 kontraktor termasuk sembilan di Semporna kerana disyaki mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah pejabat kerajaan kira-kira lima tahun lalu.

Sumber memberitahu, sembilan suspek individu berkenaan berusia antara 29 hingga 56 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit pada 2017 bagi mendapatkan sebut harga pengurusan kantin bagi tempoh dua tahun dengan nilai kontrak membabitkan lebih RM200,000.

Difahamkan, kesemua kontraktor terbabit yang terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Tawau di sini, pada 10 pagi hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Tawau dalam masa yang terdekat.

Sementara itu, katanya, SPRM Cawangan Keningau pada Jumaat lalu turut menahan dua kontraktor berusia antara 25 hingga 32 tahun atas kesalahan sama membabitkan nilai kontrak berjumlah RM5 juta.

Beliau berkata, dua suspek masing-masing lelaki dan wanita itu ditahan kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembekalan makanan untuk sekolah berasrama.

"Perbuatan mengemukakan dokumen palsu itu merupakan antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh kontraktor dan diharapkan perkara ini tidak berulang lagi pada masa-masa akan datang," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:52 PM