SIVAKUMAR (tengah) ketika bertemu media pada majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia 2023. FOTO Bernama
SIVAKUMAR (tengah) ketika bertemu media pada majlis Iftar Kementerian Sumber Manusia 2023. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu menunggu dan menyemak, sama ada bilangan pekerja asing yang dibawa masuk ke Malaysia mencukupi, sebelum membuka semula permohonan dan meluluskan kuota pekerja asing yang ditangguhkan sebelum ini, kata Menterinya V. Sivakumar.

Sebelum ini, beliau mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA), ditangguhkan bermula 18 Mac sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ditemui pemberita selepas Majlis Iftar KSM di sini hari ini, Sivakumar berkata, meskipun terdapat gesaan daripada pemain industri untuk membuka permohonan bagi kuota tambahan, perkara itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dengan mengambil kira pelbagai faktor.

"Sekarang kita beri ruang kepada majikan untuk bawa masuk pekerja. Sementara kita tunggu majikan bawa masuk pekerja asing, kita tidak akan meluluskan sebarang kuota. Kalau benar-benar tidak cukup, keputusan lain akan dibuat kelak," katanya.

Setakat 14 Mac lalu, KSM meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing daripada pelbagai sektor dan dengan kelulusan itu, ia dijangka dapat memenuhi keperluan guna tenaga asing oleh industri termasuk di sektor kritikal.

Pada 27 Mac lalu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing disambung semula dengan segera, bagi memastikan industri yang memerlukan pekerja berpeluang mengekalkan operasi perniagaan dan memenuhi permintaan dalam tempahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 10:48 PM