Majikan diseru memberi insentif tambahan supaya pengawal keselamatan tempatan kekal bekerja untuk tempoh yang lama.
Majikan diseru memberi insentif tambahan supaya pengawal keselamatan tempatan kekal bekerja untuk tempoh yang lama.
Amir Abd Hamid

PERLU tawar pakej gaji lebih memuaskan bagi menarik minat warga tempatan berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

Kemudahan dan insentif boleh ditawarkan termasuklah pengangkutan, penginapan, pakaian seragam yang mencukupi, makan, pinjaman dalam bentuk kewangan atau peralatan, bonus tahunan, pakej percutian yang bersesuaian dan peluang peningkatan kerjaya lebih tinggi.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataannya tadi meminta majikan memberi insentif tambahan supaya pekerja ini kekal bekerja untuk tempoh yang lama.

Menurutnya, dasar kerajaan berhubung penggajian pekerja adalah memberi keutamaan kepada warga tempatan.

“Kementerian turut mengalu-alukan persatuan bekas tentera dan polis bagi menggalakkan anggota mereka yang berminat dan mempunyai keadaan fizikal serta kesihatan yang baik berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

“KSM sentiasa berusaha untuk memastikan pekerja warganegara tidak dinafikan hak mereka untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing.

"Hanya jawatan yang tidak dapat diisi oleh pekerja warganegara dalam sektor diluluskan sahaja dibenarkan untuk menggaji pekerja asing khususnya pekerja asing kurang mahir termasuklah pengawal keselamatan warga asing,” katanya.

KSM menjelaskan penggajian pekerja asing di Malaysia membabitkan bidang kuasa dua kementerian iaitu KSM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab dalam hal kemasukan dan juga keselamatan termasuklah penggajian pengawal keselamatan di negara ini.

KSM pula bertanggungjawab ke atas hal penggajian dan perburuhan dengan memastikan majikan yang membawa masuk pekerja asing perlu mematuhi peraturan dan undang-undang buruh yang sedang berkuat kuasa sama seperti pekerja tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 7:09 PM