Yun Mikail


Tenom: Pendakwah, Firdaus Wong, hari ini dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketiga bagi perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, mula dipanggil membuat keterangan pada sesi perbicaraan sebelah petang di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) dalam kenyataan awalnya memaklumkan salah satu peranan pihaknya adalah memberi pertolongan dari segi kaunseling, psikiatri, guaman, dan kewangan kepada golongan kanak-kanak perempuan, remaja perempuan serta wanita yang terbabit dalam kes-kes berkaitan seksual.

"Antara kes yang dibantu MRM termasuklah kes seorang pengadu wanita yang dikaitkan dengan perbicaraan ini.

"Pengadu memberitahu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz bahawa dirinya menerima mesej-mesej serta gambar berunsur lucah daripada Ebit Lew, " katanya ketika prosiding perbicaraan, di sini, hari ini.

Firdaus berkata demikian bagi menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad mengenai kes berkaitan seksual wanita yang pernah dirujuk kepada Sayap Wanita MRM.

Kes turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Perbicaraan hari ketiga ditangguhkan pada jam 4.30 petang tadi dan bakal disambung semula esok.

Sementara itu, saksi pendakwaan kedua, Asisten Superintendan Salwani Mohd Hadzir, 40, memaklumkan dia hanya mendapat arahan untuk merampas telefon bimbit milik Mohd Fairuz Abu berkaitan tiga laporan polis yang sedang disiasat.

Menurutnya, rampasan telefon bimbit milik saksi dibuat susulan tiga laporan polis yang sedang disiasat namun dia tidak pasti sama ada saksi pendakwaan pertama turut disiasat bagi ketiga-tiga laporan polis itu.

Bagaimanapun ketika menjawab pertanyaan peguam bela, Ram Singh ketika sesi pemeriksaan balas, katanya, dia sedia maklum rampasan itu dibuat berkaitan dengan Ebit Lew.

FIRDAUS Wong hadir pada perbicaraan kes membabitkan Ebit Lew di Tenom hari ini. FOTO Yun Mikail
FIRDAUS Wong hadir pada perbicaraan kes membabitkan Ebit Lew di Tenom hari ini. FOTO Yun Mikail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:25 PM