Ebit Lew
Ebit Lew
Yun Mikail


Tenom: Perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew bersambung hari ini, di Mahkamah Majistret Tenom di sini.

Berlangsung sehingga 22 Disember, perbicaraan antara 27 dan 30 September lalu setakat ini sudah menampilkan tiga saksi termasuklah pendakwah bebas, Firdaus Wong pada hari ketiga dan keempat prosiding.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam kenyataannya pada perbicaraan sebelum ini memberitahu mahkamah, dirinya menerima gambar serta beberapa tangkap layar berunsur lucah dikaitkan dengan seorang pengadu wanita selepas dikongsikan saksi pendakwaan pertama, Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Firdaus Wong, 39, berkata, semua gambar dan tangkap layar berkenaan diberikan kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 9:17 AM