FIRDAUS Wong hadir ke Mahkamah Majistret Tenom. FOTO Yun Mikail
FIRDAUS Wong hadir ke Mahkamah Majistret Tenom. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Tenom: Pendakwah bebas, Firdaus Wong memaklumkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa kumpulan WhatsApp NOBODY diwujudkannya tidak lagi aktif.

Firdaus yang juga Pengasas dan Presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, ia berikutan semua aduan mangsa berkaitan sudah dikendalikan pihak polis.

"Group NOBODY tidak lagi aktif kerana semua aduan daripada mangsa-mangsa telah dikendalikan dan polis turut menjalankan siasatan terhadap laporan mereka," katanya ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

Sementara itu, merujuk kepada jawapannya sebelum ini yang menyatakan tidak bersetuju penubuhan kumpulan WhatsApp NOBODY adalah tidak selaras dengan prinsip MRM, Firdaus menyatakan kenyataan terbabit diberikan kerana antara prinsip-prinsip organisasi berkenaan adalah semua perkara dilakukan hendaklah mematuhi syariat Islam.

"Selain itu, ia juga haruslah tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

"Maka penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi mendapatkan nasihat daripada penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam," katanya selaku saksi ketiga perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew atau atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37.

Terdahulu, sambungan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew diteruskan untuk hari kedua hari ini.

Menerusi perbicaraan semalam, Firdaus memaklumkan mahkamah dia melihat beberapa mesej serta gambar lucah secara terus daripada telefon bimbit milik 'pengadu' (identiti tidak didedahkan) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua mesej dan gambar berkenaan dilihat sendiri apabila bertemu dengan 'pengadu' dan suami selepas laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021.

Ebit Lew pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom.

Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit Lew didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 1:48 PM