FIRDAUS Wong. FOTO arkib NSTP
FIRDAUS Wong. FOTO arkib NSTP
Yun Mikail


Tenom: Saksi pendakwaan keenam membabitkan perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, hari ini, memaklumkan mahkamah bahawa ada membuat rampasan telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawaty Isa berkata, beliau menerima arahan dari pegawai penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri bagi menjalankan rampasan telefon bimbit milik salah seorang saksi pendakwaan, Firdaus Wong pada 28 September 2021, sekitar jam 2 petang.

"Saya dimaklumkan penama akan datang ke pejabat D11, Bukit Aman pada hari berkenaan.

"Sejurus penama tiba di pejabat D11 sekitar jam 7.05 petang, saya kemudiannya mengarahkan Firdaus Wong menyerahkan telefon bimbit milik beliau.

"Saya seterusnya mengeluarkan borang pemeriksaan kepada Firdaus Wong," katanya.

Hirdawaty berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria ketika sesi pemeriksaan utama di Mahkamah Majistret Tenom, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hirdawaty memberitahu mahkamah bahawa telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.

Prosiding perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.

Mengenakan pakaian serba hitam dan berkopiah putih, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi tadi dengan menaiki kereta jenis pacuan empat roda Toyota Land Cruiser warna hitam.

Hirdawaty Isa. FOTO Yun Mikail
Hirdawaty Isa. FOTO Yun Mikail

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 2:06 PM