TANGKAP layar video kejadian yang tular
TANGKAP layar video kejadian yang tular
Omar Ahmad


Johor Bahru: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki berang dan melanggar dua lelaki selepas mereka bergaduh di sebuah bar di Taman Molek di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian lebih kurang jam 5 pagi.

Menurutnya, perselisihan faham dipercayai bermula di dalam sebuah bar dan berlarutan ke bahagian luar premis antara mangsa lelaki tempatan berumur 36 tahun dan suspek yang juga lelaki tempatan berumur 30 tahun.

"Suspek kemudian menaiki kereta dan bertindak melanggar mangsa serta seorang lelaki berusia 35 tahun yang turut berada di lokasi kejadian.

"Bertindak atas maklumat, suspek lelaki itu berjaya ditahan jam 9.10 malam tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam di Jalan Persisiran Seri Alam.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian urin negatif," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, kedua-dua mangsa yang dilanggar mengalami kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 kanun keseksaan.

Kejadian pergaduhan dan kekecohan ini tular di aplikasi WhatApps dengan tiga klip video berdurasi antara 5 saat hingga satu minit 37 saat.

Video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki berkumpul sebelum kelihatan salah seorang daripadanya ke arah sebuah kereta, namun secara tiba-tiba kereta terbabit bergerak dan melanggar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 11:20 PM