Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini mengarahkan lelaki yang berdepan pertuduhan mencedera dan melakukan kekerasan jenayah terhadap pekerja serta pelanggan sebuah kedai serbaneka menjalani pemeriksaan psikiatri.

Terdahulu, tertuduh, Umar Isa Hafizi Ahmad Faris, 25, mengangguk faham selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap pekerja, Saufia Alias, 23, dan pelanggan, Rashdan Rosman, 28, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sultan Mahmud, di sini, pada 2.10 petang 27 Mei lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang lagi pelanggan, Nurul Alia Amira Zulkifli, 23, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 352 KK berdepan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor bagi mendapatkan pemeriksaan mental dan menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

UMAR Isa Hafizi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah terhadap pekerja dan pelanggan sebuah kedai serbaneka. FOTO Ghazali Kori
UMAR Isa Hafizi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mencederakan dan melakukan kekerasan jenayah terhadap pekerja dan pelanggan sebuah kedai serbaneka. FOTO Ghazali Kori

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan kerana tiba-tiba mengamuk dengan menyerang tiga individu termasuk dua pelanggan di sebuah kedai serbaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 4:17 PM