Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan di sekitar Kota Setar diserbu dalam serbuan di tiga lokasi berasingan menerusi Op Dadu, semalam.

Dalam serbuan itu, polis menahan 19 individu berusia antara 20 hingga 68 tahun termasuk tujuh warga China dipercayai terbabit aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan pelaburan wang krypto (bitcoin).

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan itu dilalukan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan sejak seminggu.

Beliau berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak Mac lalu mensasarkan mangsa dari Kanada dan negara Asia.

"Ahli sindiket ini akan mewujudkan kumpulan WhatsApp dengan pelanggan yang disasarkan dengan mempromosi laman sesawang 'Bittbay88.com,'.

"Seterusnya sindiket akan meminta pelanggan melayari laman sesawang itu, sebelum menipu pelanggan yang berminat untuk melabur.

"Sindiket ini mampu mengaut keuntungan antara RM300,000 hingga RM500,000 sebulan untuk setiap rumah yang beroperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

AHLI sindiket judi dalam talian, pelaburan yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
AHLI sindiket judi dalam talian, pelaburan yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Kamarul Zaman berkata, mereka yang ditahan terdiri dari lapan lelaki tempatan, empat wanita tempatan, enam lelaki dan seorang wanita warga China.

Katanya, hasil semakan mendapati seorang daripadanya dikehendaki polis berkaitan kes jenayah perjudian di daerah ini.

Beliau berkata, selain penahanan individu berkenaan, pihaknya turut merampas 195 telefon bimbit pelbagai jenama; 11 komputer riba, enam unit router, dua tablet dan tiga kereta

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana hukuman boleh dikenakan tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 dan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

"Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan enam sebatan.

"Selain itu, siasatan dilakukan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.2) 2021 kompaun terhadap kesalahan berhimpun di dalam premis boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 4:29 PM