TERTUDUH (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TERTUDUH (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


PEGAWAI kanan bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bernilai RM15,540 daripada dua syarikat pembekalan milik ahli keluarga.

Tertuduh, Mohd Roslan Zakaria, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan sebut harga milik ibu mentuanya, Pak Su Global Enterprise untuk melaksanakan kerja pembekalan 60 unit antenna dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan mencadangkan sebut harga Muazzam Global Enterprise milik adik iparnya untuk melaksanakan kerja pembekalan 31 unit kompas berjumlah RM7,440.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang pada November 2016.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 21 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri pada 1 hari bulan setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:18 PM