Baharom Bakar

Kuala Nerus: Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Mafi) akan memperluaskan Pasar Tani Agro Pelancongan di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim, berkata pasar tani berkenaan juga dapat membantu menambah pendapatan usahawan yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan pertanian.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diminta memperluaskan pasar tani Agro Pelancongan di setiap zon di negeri ini.

"Usahawan yang menyertai projek percubaan pasar tani agro pelancongan memperoleh jualan sebanyak RM336,000 dalam tempoh lima minggu sejak dibuka pada 13 Ogos lalu," katanya kepada media selepas merasmikan pasar tani agro pelancongan di kawasan lapang Jabatan Angkat Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Fama negeri, Nukman Hashim, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Anum Man dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh.

AZMAN (dua kiri) melihat kerepok keping yang dijual secara terus kepada penduduk oleh usahawan pasar tani agro pelancongan. FOTO Baharom Bakar
AZMAN (dua kiri) melihat kerepok keping yang dijual secara terus kepada penduduk oleh usahawan pasar tani agro pelancongan. FOTO Baharom Bakar

Seramai 102 usahawan pelbagai produk berasaskan pertanian dan kraftangan menyertai pasar tani itu.

Ia adalah yang pertama dibuka bertujuan menjimatkan kos penduduk dan pelancong serta menambah pendapatan usahawan adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini.

Mengulas lanjut Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Jabi, berkata pasar tani agro pelancongan diadakan pada setiap hujung minggu dan memulakan operasi daripada jam 4 petang hingga jam 10 malam.

Katanya, konsep pasar tani agro pelancongan adalah menghimpunkan usahawan yang menghasilkan pelbagai produk berasaskan pertanian dan memasarkan terus kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 12:00 PM