PARAS air meningkat di SK Sungai Genaan, Sebauh di Bintulu selepas hujan lebat, semalam. Foto Ihsan APM
PARAS air meningkat di SK Sungai Genaan, Sebauh di Bintulu selepas hujan lebat, semalam. Foto Ihsan APM
Mohd Roji Kawi


PENGURUSAN Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Genaan, Sebauh di Bintulu kini diletakkan keadaan dalam berjaga-jaga berikutan paras air di sekolah berkenaan didapati semakin naik, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sehingga jam 7 pagi ini, air sudah naik di sekeliling sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, proses pengajaran dan pembelajaran 25 murid sekolah berkenaan diteruskan berikutan paras air tidak mencecah lantai bangunan sekolah bertiang itu.

“Air mula naik sejak petang semalam selepas hujan lebat pada malam sebelumnya, dan hujan lebat berlaku lagi kira-kira satu jam, malam tadi.

“Berikutan hujan lebat, pemantauan hari ini mendapati paras air menunjukkan trend menaik dan menenggelami tapak perhimpunan,” katanya.

Katanya, semua kakitangan iaitu 12 guru, tujuh kakitangan sokongan dan dua pengawal keselamatan yang kini berada di sekolah berkenaan turut memantau keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 10:40 AM