Nazdy Harun


Marang: Kewujudan rumah penyembelihan baharu di Wakaf Tapai, di sini, menjadikan setiap daerah di negeri ini kini mempunyai rumah sembelihan ternakan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata, rumah sembelihan di Wakaf Tapai ini dikelola Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dan peruntukan untuk pembinaannya disalurkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, rumah sembelihan ini dibina di atas tanah seluas 0.57 hektar sekali gus melengkapkan setiap daerah mempunyai rumah sembelihan sendiri.

"Terengganu kini mempunyai 10 rumah sembelihan ternakan yang mana empat buah dibina oleh kerajaan persekutuan, tiga dikendalikan pihak swasta, dua buah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipindahkan pengurusannya kepada JPV Terengganu, manakala sebuah milik kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan melihat fasiliti tambahan yang akan dibuat pada rumah sembelihan berkenaan seperti yang dicadangkan JPV iaitu peti sejuk, peralatan hidraulik dan beberapa kelengkapan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian Rumah Penyembelihan Ternakan Daerah Marang di Rumah Sembelih Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPV negeri, Dr Anun Man.

Menurutnya, projek pembinaan rumah sembelihan ini dijalankan pada Disember tahun lalu dan kini boleh digunakan bagi kemudahan penternak yang ingin menyembelih haiwan ternakan mereka.

Katanya, rumah sembelihan itu boleh menampung 15 ekor lembu untuk disembelih dalam tempoh sehari pada hari biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 4:08 PM