BOMBA memadamkan sebuah rumah yang terbakar di Marang, malam ini. FOTO Zaid Salim
BOMBA memadamkan sebuah rumah yang terbakar di Marang, malam ini. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Marang: "Balik tengok rumah tinggal rangka," kata Samsuria Abdullah, 37, mangsa kebakaran rumah di Kampung Cherang Kertuk, Wakaf Tapai, di sini, malam ini.

Katanya, ketika kejadian, dia yang memiliki tiga anak berusia 10, 6 dan dua tahun serta suami, Fuad Zakaria, 39, berada di rumah adiknya di Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu.

Menurutnya, ketika berada di rumah adik, dia menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumahnya terbakar dan segera pulang.

"Saya hampir rebah apabila sebaik tiba mendapati rumah hanya tinggal rangka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Samsuria berkata, sebelum keluar rumah jam 6.30 petang, dia sudah menutup semua suis lampu dan tabung gas.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan dan perkakas termasuk pakaian serta peralatan persekolahan hangus membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Sementara, jiran mangsa, Zaitun Said, 41, berkata, dia terdengar bunyi letupan dan menyangkakan ia bunyi mercun sebelum anaknya, Muhammad Amsyar Mukhriz Mohd Rosdi, 12, memaklumkan ada rumah terbakar.

"Ketika itu api mula membakar bahagian bumbung rumah dan saya segera keluar meminta bantuan penduduk menghubungi bomba.

"Saya kemudian menghubungi penghuni rumah berkenaan yang memberitahu kejadian yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Zulikifli Md Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 8.30 malam.

Katanya, susulan itu satu jentera bomba dengan kekuatan anggota seramai tujuh orang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran menyebabkan rumah kayu itu musnah seratus peratus dan kerja memadamkan api dilakukan sehingga selesai sepenuhnya jam 10 malam," katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan unit forensik akan menjalankan siasatan bagi memastikan kerugian dan punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 12:11 AM