Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini berhubung ketetapan baharu pemakaian pelitup muka dalam bangunan (indoor) yang tidak lagi diwajibkan sebaliknya mengikut pilihan sendiri berkuat kuasa serta-merta mendapat reaksi bercampur baur daripada orang ramai.

Ada yang bersetuju dan gembira dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun tidak kurang juga mempersoalkan dan memilih untuk terus memakai pelitup muka.

Kakitangan swasta, Ameerul Fadzleey Jamil, 33, berkata, sekalipun pelitup muka dimansuhkan, dia tetap akan memakainya apabila berada di tempat awam.

"Saya tak pasti orang lain bagaimana namun saya akan terus pakai pelitup muka. Macam tak yakin pula keluar tanpa memakai pelitup muka kerana orang duduk di sebelah belum tentu sihat.

"Tak tahu sampai bila akan pakai pelitup muka, mungkin sehingga yakin tetapi buat masa ini belum, ada keyakinan lagi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Mariss Khan, 43, berkata, dia menyambut baik pengumuman berkenaan kerana lebih selesa berada di khalayak tanpa memakai pelitup muka.

"Sebenarnya pelitup muka ini digunakan untuk apa? Fungsinya adalah untuk menghindarkan daripada berjangkit bukan menghalang jangkitan.

"Kalau kita sakit baru pakai untuk mengelak wabak tersebar. Persoalannya, untuk apa pakai jika kita sihat, buat rimas saja," katanya.

Bagi Razaleigh Zainal, 58, dia akan terus memakai pelitup muka walaupun dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai amalan yang baik untuk kesihatan.

"Sudah jadi kebiasaan sejak dua tahun lalu jadi saya terus memakainya. Pada masa sama, saya akan menggunakan cecair pembasmi kuman untuk melindungi diri daripada jangkitan," katanya yang menetap di Kampung Sungai Jernih, Kajang, Selangor.

Terdahulu, Khairy dalam satu sidang media hari ini mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini tidak wajib dan atas pilihan individu.

Keputusan dibuat berdasarkan penilaian situasi semasa Covie-19 serta mengambil kira keperluan semasa.

Bagaimanapun, pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

Orang ramai pula amat digalakkan memakai pelitup muka kerana ia terbukti mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Bermula 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 4:52 PM