Safeek Affendy Razali


ORANG ramai dilihat mempunyai kesedaran tinggi berhubung arahan kerajaan supaya memakai pelitup muka di tempat awam bermula hari ini dalam usaha menyekat penularan Covid-19.

Tinjauan hari pertama sekitar kedai dan pasar Jalan Othman, Petaling Jaya bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, mendapati kebanyakan orang ramai memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya mengambil pendekatan memberi nasihat dan teguran kepada orang ramai yang masih tidak memakai pelitup muka.

"Untuk hari pertama (hari ini), kami tidak merancang untuk mengeluarkan kompaun terhadap masyarakat khususnya di sekitar daerah ini disebabkan kesusahan semasa pandemik Covid-19 ini.

"Dalam keadaan ekonomi yang sukar serta memberi kesan kepada sebahagian besar masyarakat, saya mengambil pendekatan menasihat dan mengingatkan masyarakat untuk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam," katanya selepas meninjau penguat kuasaan Ops Pematuhan Pemakaian Pelitup Muka.

Beliau bagaimanapun berkata, langkah memberi nasihat itu bukan bermakna pihak polis tidak akan melaksanakan penguat kuasaan pemakaian pelitup muka.

"Kami akan mengambil tindakan dan mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang gagal mengikuti arahan pemakaian pelitup muka dalam masa terdekat, namun untuk hari ini kita akan memberi nasihat dan teguran dahulu," katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menubuhkan 13 pasukan pemantau khas untuk melaksanakan penguat kuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan kekuatan lima orang setiap pasukan.

NIK Ezanee, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka. FOTO Fathil Asri
NIK Ezanee, memberi teguran dan pemantauan supaya orang ramai mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka. FOTO Fathil Asri

Pasukan sama turut memantau pemakaian wajib pelitup muka di lokasi awam bermula semalam.

Bermula hari ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) jika gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 3:34 PM