TINJAUAN isu pemakaian pelitup muka, Fatin Nabila Mokhtar, 28. FOTO Fariz Iswadi Ismail
TINJAUAN isu pemakaian pelitup muka, Fatin Nabila Mokhtar, 28. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selesa dan mampu melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

Itu pilihan pelitup muka orang ramai untuk dipakai setiap hari.

Pekerja swasta, Norzualiana Abdul Razak, 40, berkata, dia memilih pelitup muka jenis N95 kerana reka bentuk moden, selesa serta sesuai untuk mereka yang berhijab.

"Ada macam-macam jenis pelitup muka, tetapi saya lebih suka memakai N95 kerana reka bentuknya moden dan menutup bahagian hidung sampai ke mulut dengan selesa dan sesuai dengan saya.

"Pada masa sama, talinya juga memainkan peranan dan memudahkan saya yang memakai tudung," katanya.

Bagi R Thewaparan, 58, pula, pemilihan pelitup muka perlu sesuai dengan bentuk muka serta berfungsi melindungi diri daripada virus.

"Kalau ikutkan memang saya tak suka pakai pelitup muka, tetapi sekarang ia sudah menjadi wajib, jadi kita perlu memilih yang sesuai dan selesa dengan kita tetapi pada masa sama melindungi diri kita daripada jangkitan.

"Macam saya, lebih suka pakai pelitup muka medikal kerana disyorkan selamat dan mudah bernafas," katanya.

Suri rumah, Fatin Nabila Mokhtar, 28, berkata, pelitup muka menjadi pilihannya ialah jenis medikal yang dipakai secara dua lapis.

"Saya selesa pakai pelitup muka jenis medikal dan biasanya saya pakai secara dua lapis.

"Kalau jenis kain, saya tak begitu selesa kerana bahagian telinga akan sakit selain perlu basuh setiap kali pakai berbanding medikal pakai terus buang.

"Biasanya saya akan beli borong dan berkongsi dengan keluarga, jadi lebih jimat kerana harga lebih murah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Covid-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, aspek pemilihan pelitup muka perlu berfungsi untuk melindungi diri daripada jangkitan dan menularkan jangkitan.

"Kita kena faham konsep dan sebab apa kita guna pelitup muka iaitu menghalang daripada kita terkena dan menyebarkan jangkitan terutama jika kita berurusan dengan orang ramai. Bukan kerana takut kod undang-undang sahaja, tetapi semua orang mesti bertanggungjawab.

"Memang (pakai pelitup muka) kurang selesa tetapi kita sekarang sudah lebih dua tahun guna, jadi mesti tahu cara yang sesuai. Alah bisa tegal biasa," katanya.

Menurutnya, pelitup muka yang berkesan melindungi daripada jangkitan ialah pelitup muka jenis medikal.

"Pelitup muka yang biasa berkesan ialah 'surgical mask' (pelitup muka bedah) atau 'mask' K-Pop.

"Bagi mengelak kurang selesa, perlu ada masa rehat iaitu rehat dan bernafas di tempat tiada orang berdekatan dan selepas itu sambung semula serta gantikan baharu apabila sudah basah," katanya.

Mengenai isu pemakaian pelitup muka tidak betul di tempat awam, beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan manakala masyarakat pula perlu berani membuat teguran kepada sesiapa sahaja yang meremehkan pemakaian pelitup muka.

Muka depan Harian Metro hari ini mendedahkan ramai masyarakat terutama peniaga meremehkan pemakaian pelitup muka dengan menggantungnya pada dagu dan leher.

Tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu seolah-olah menjadikan pelitup muka sebagai aksesori semata-mata merisikokan lagi penularan Covid-19 di negara ini.

Berita berkaitan

  • Pelitup muka kini dah jadi 'pelitup dagu'
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 5:53 PM