FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggariskan protokol sambutan Aidilfitri bagi memastikan Keluarga Malaysia menyambutnya dalam keadaan yang meriah dan selamat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol berkenaan sebagai panduan umum dan tertakluk kepada ketetapan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

"Takbir raya dibenarkan dibuat di masjid dan surau atau rumah ke rumah tetapi perlu sentiasa memakai pelitup muka.

"Individu positif Covid-19 dilarang untuk menyertai aktiviti itu serta kita galakkan hanya individu tanpa gejala saja menyertainya," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau atau rumah terbuka atau majlis sambutan Aidilfitri dengan individu bergejala tidak digalakkan menyertai aktiviti itu bagi mengelak penularan jangkitan.

"Solat sunat Aidilfitri dibenarkan dilaksanakan di masjid atau surau dengan kapasiti 100 peratus.

"Semua jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka semasa berada dalam masjid atau surau termasuk ketika sedang solat.

"Jemaah digalakkan mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri, masuk mengikut giliran untuk elak kesesakan dan bersurai dengan tenang," katanya.

Katanya, kerajaan turut membenarkan program ziarah rumah ke rumah atau tanah perkuburan dengan individu yang terbabit digalakkan memakai pelitup muka.

"Rumah terbuka atau majlis Aidilfitri dalam atau luar bangunan dibenarkan dengan syarat memakai pelitup muka. Kes positif Covid-19 tidak dibenarkan hadir atau menyertai semua program berkenaan serta individu bergejala juga tidak digalakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:31 PM