PENDUDUK berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Haji Hassan Samah, Kupang. FOTO Ihsan APM.
PENDUDUK berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Haji Hassan Samah, Kupang. FOTO Ihsan APM.
Safuri Kamarudin


Baling: Tujuh keluarga membabitkan 32 mangsa dari Kampung Padang Empang, Kupang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Hassan Samah, dekat sini apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter malam ini.

Mangsa mula berpindah pada 10 malam, susulan kediaman mereka tidak selamat berikutan hujan masih berterusan sejak petang menyebabkan air Sungai Kupang melimpah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, setakat ini satu PPS sudah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

"Penduduk terpaksa berpindah kerana cuaca masih hujan, selain bimbang mereka terperangkap kerana cuaca gelap.

"Langkah awal kita adalah mengarahkan mereka berpindah bagi mengelakkan kejadian buruk," katanya.

Rasidah berkata, beberapa kampung lain turut dinaiki air antaranya Kampung Iboi, Bendang Bechah, Bendang Padang dan kawasan Sekolah Menengah Yayasan Agama Khairiah, Kupang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 12:07 AM