ISMAIL Sabri (tiga dari kanan)  menjamu selera pada Program Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia.
ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) menjamu selera pada Program Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia.

Padang Terap: Majlis Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia yang diadakan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, Jumaat lalu mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri kira-kira 15,000 penduduk.

Tanpa mengira kaum, bangsa serta agama, masyarakat setempat mengambil kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan majlis Kenuri Rakyat bersempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di negeri ini yang berlangsung selama tiga hari.

Pada majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid itu pelbagai pengisian program dilakukan bagi menambah kemeriahannya.

Mahdzir dalam ucapannya berkata, kehadiran kira-kira 15,000 tetamu pada majlis Kenuri Rakyat itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

"Kita juga melihat majlis yang dianjurkan ini memberi pengertian sangat besar kepada semua penduduk sekali gus mewujudkan platform terbaik untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim sesama mereka.

"Malah, kehadiran ramai tetamu yang juga penduduk setempat jelas menunjukkan keyakinan mereka terhadap keupayaan serta kemampuan kerajaan untuk membawa kemajuan ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata, pelbagai pembangunan sudah dilaksanakan di daerah ketiga terbesar di negeri ini oleh beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

"Keda yang juga salah satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) diberi kepercayaan menguruskan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu, tahun ini.

"Projek membabitkan 12 kampung dalam Mukim Pedu itu akan dilaksanakan lima tahun akan datang dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 6:31 AM