M Hifzuddin Ikhsan


Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memandang serius tindakan waris kesultanan Sulu menjadikan aset Malaysia di luar negara sebagai sasaran tuntutan keluarga berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB mempunyai beberapa aset strategik merangkumi bangunan dan hotel yang dimiliki MARA Inc yang dianggar bernilai ratusan juta ringgit.

Katanya, KPLB akan terus memantau isu berkenaan termasuk memastikan waris kesultanan Sulu tidak menjadikan aset MARA Inc menjadi sasaran mereka selepas apa yang terjadi kepada terhadap aset milik PETRONAS di Azerbaijan baru-baru ini.

"Saya lihat benda ini satu perkara yang agak serius, walaupun kita sudah mohon tangguh keputusan penimbang tara di Sepanyol dan sekarang kita minta dibatalkan di Mahkamah Perancis pula.

"Tetapi 'keluarga' ini guna keputusan di Sepanyol dan pergi merata tempat cuba ambil harta Malaysia. Kita ada harta dan bangunan di London dan Melbourne, Australia yang dimiliki MARA," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Taklimat Khas Prospek Pedu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Kamarudin Abd Akib.

Difahamkan, selain aset di London dan Melbourne, MARA turut memiliki bangunan di Amerika Syarikat dan Mesir yang berkemungkinan turut menjadi sasaran waris keluarga kesultanan Sulu.

Mahdzir berkata, beliau baru sahaja berbincang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi membincangkan isu berkenaan secara lebih lanjut.

"Kita ambil perhatian dan ambil berat, pagi tadi saya berhubung dengan Wan Junaidi berkaitan perkara ini.

"Tetapi jika kita dapat keputusan (memihak kepada Malaysia) di Perancis, kita kekal dan dia tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Mahkamah Rayuan Paris kelmarin membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Tindakan itu akan kekal sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 2:35 PM