KHAIRUL Dzaimee. FOTO arkib NSTP
KHAIRUL Dzaimee. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang terbabit dalam insiden membabitkan pegawai tinggi kerajaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos lalu, selesai memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Siasatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, selain itu pihaknya juga sudah memberikan maklumat tambahan yang diminta oleh jawatankuasa berkenaan untuk jalankan siasatan.

"Tidak banyak komen boleh saya berikan berkaitan isu ini, cuma saya boleh maklumkan pegawai-pegawai saya sudah selesai berikan keterangan kepada mereka (Jawatankuasa Siasatan) dan maklumat tambahan yang diminta oleh jawatankuasa berkenaan juga sudah kami bekalkan.

"Setakat itu saja yang boleh saya maklumkan, selebihnya saya tiada maklumat," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program 'Immigration Run' di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di KLIA.

Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk kejadian itu sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertindak serupa dan menafikan tuduhan Mohd Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terbabit.

Kenyataan JPA itu antara lain menjelaskan, Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.

Berikutan itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik mengetuai Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat insiden membabitkan KPPA dan pegawai kanan imigresen di KLIA itu.

Selain Idrus, anggota jawatankuasa terbabit terdiri daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pelantikan itu adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dalam mesyuarat Kabinet.

Dalam pada itu, ditanya mengenai adakah JIM boleh membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Laos yang menjadi mangsa sindiket penipuan kerja, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya hanya boleh mengeluarkan sijil perjalanan kecemasan sekiranya individu itu tidak mempunyai pasport untuk memasuki negara ini.

"Yang pertama mereka terpaksa berhadapan dengan peraturan dan undang-undang di negara berkenaan sekiranya mereka melanggar undnag-undang jenayah di negara itu.

"Selepas itu daripada segi pengurusan pulang, JIM boleh membantu. Sekiranya mereka tidak mempunyai pasport, sijil perjalanan kecemasan boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka pulang ke negara kita.

"JIM tidak ada masalah untuk hal itu dan jabatan ini sentiasa bantu rakyat kita yang hadapi masalah di luar negara untuk pulang ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 11:21 AM