LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya Perdana Menteri mengambil tindakan segera bagi menangani isu perbalahan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Imigresen (Imigresen) adalah langkah terbaik dalam memelihara keharmonian kedua-dua pihak.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, campur tangan itu perlu kerana persepsi orang awam terhadap pegawai kerajaan berpangkat tinggi, namun mempunyai moral rendah akan mencemarkan institusi perkhidmatan awam.

Katanya, MTUC percaya Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) tidak akan mengeluarkan sebarang dakwaan tanpa berasas.

"MTUC berkeyakinan kenyataan daripada Presiden KPISM adalah hasil daripada siasatan dan boleh dipercayai.

"Kesatuan tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa mempedulikan kesan dan akibat.

"Kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang menyatakan tuduhan kesatuan adalah berniat jahat dan menjatuhkan imej beliau adalah sangat lucu, malah MTUC sangsi dengan kenyataannya yang cuba menasihati pegawai imigresen supaya mematuhi peraturan sedangkan pegawai itu yang menjalankan tugas hakiki mereka setiap hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jika KPPA ingin membuat aduan beliau boleh menggunakan saluran sama seperti orang awam.

"MTUC mengingatkan kepada KPPA jika mahu di hormati, kamu tidak boleh memaksa orang untuk menghormati kamu. Rasa hormat diperoleh bukan di berikan.

"MTUC merasa loya dan mual atas kejadian yang memalukan ini dan berharap kejadian ini tidak lagi di lakukan oleh orang lain pada semua tempat kerja dan kategori pekerjaan.

"Atas semangat solidariti, MTUC berharap KPISM terus membela ahli-ahli daripada kelakuan pegawai atasan yang merasakan kuasa dan pangkat adalah lesen untuk kelakuan buruk itu," katanya.

Semalam, Cuepacs meminta kerajaan campur tangan dalam isu membabitkan KPPA, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi kelmarin.

Pada masa sama, ahli-ahli Parlimen juga meminta Menteri di Jabatan Menteri atau timbalannya memberikan penjelasan segera di Dewan Rakyat berhubung dakwaan isu terbabit supaya tidak menjejaskan nama baik JPA dan maruah kakitangan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 1:35 PM