Nor Fazlina Abdul Rahim dan Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Isu pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sudah banyak selesai setakat ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun berkata, sehingga kini isu pengagihan kerusi berkenaan masih dibincangkan.

"Soal pengagihan kerusi sedang dibincangkan dan setakat ini sudah banyak yang selesai.

"Berapa jumlah kerusi yang akan dapat belum dimuktamadkan lagi memandangkan tarikh pilihan raya juga belum diumumkan.

"Namun, untuk tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan, majoriti kerusi ditandingi oleh Pas. Setakat ini, kita berpuas hati dengan kerjasama yang terjalin dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS ke-66, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Abdul Hadi berkata, Pas tetap menurunkan jentera bagi membantu parti lain berdepan PRN Sabah, walaupun parti itu tidak meletakkan calon.

Katanya, mereka akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan calon BN dan Bersatu memperoleh kemenangan.

"Perlu diketahui, walaupun kita tidak bertanding, namun kita boleh terbabit dalam jentera kerajaan," katanya.

ABDUL Hadi (kiri) bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) selepas menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Bernama.
ABDUL Hadi (kiri) bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) selepas menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-66. FOTO Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 2:32 PM