Mohd Amin Jalil


Seremban: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan pemimpin Pas agar menjaga parti masing-masing dan tidak cuba mengadu-domba parti orang lain.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata, apa saja perbincangan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti dibuat secara terang dan bukan berunding dalam gelap.

Katanya, setakat ini tiada sebarang arahan untuk mengadakan perundingan berkaitan PRU-15 atau kerusi.

"Jagalah parti sendiri, saya jaga parti saya, apa saja perbincangan mesti dibuat secara terang dan bukan runding dalam gelap.

"Setakat ini, tiada arahan daripada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk adakan rundingan dengan Pas (dalam Muafakat Nasional).

"Saya Pengerusi Jawatankuasa Perundingan dan Pengarah Pilihan Raya Umno, semua diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya berhubung dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa tindakan Ahmad Zahid tidak mewakili keseluruhan parti Umno.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Semarak Merdeka di Taman Jed Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, petang ini.

Abdul Hadi dalam sidang media selepas perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di Alor Setar, Kedah berkata, rundingan antara Umno dan Pas ketika ini masih berjalan membabitkan pimpinan kedua-dua parti hingga ke peringkat akar umbi.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa, Umno bukan hanya diwakili oleh Presiden parti itu seorang tetapi membabitkan sebuah organisasi.

Mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa Pas tidak terdesak untuk bekerjasama dengan Umno dalam menghadapi PRU-15, Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) dan Umno sudah membuat keputusan awal untuk bergerak solo.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, tindakan itu terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila BN bertanding secara solo.

"Di Melaka dan Johor kita bergerak solo, bahkan di Sabah pun kita bergerak solo, apa saja tanggapan orang lain itu, hal mereka.

"Tetapi kita sudah buat keputusan bahawa dalam PRU-15 ini kita akan menghadapinya secara solo, selepas pilihan raya itu cerita lain (untuk tubuh kerajaan)," katanya.

Mengenai gesaan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) yang mencadangkan kerajaan agar mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah, beliau berkata, adalah tidak wajar menghukum individu tertentu sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

"Undang-undang di negara ini menetapkan seseorang individu itu dianggap tidak bersalah sehingga dia didapati bersalah oleh mahkamah.

"Justeru, adalah tidak wajar kita menghukum individu tertentu tanpa pihak mahkamah yang menjatuhkan hukuman.

"Kita tidak boleh mendahului mahkamah dan menjatuhkan hukuman sendiri (sekat orang jadi calon), itu tidak betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 8:06 PM