Mohd Roji Kawi


KEGEMBIRAAN tiga rakan sekolah mandi di jeti Kampung Bintangor di sini, berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dipercayai lemas, petang tadi.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa, Justin Cornelies Philip, 14, pelajar Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph di sini, bersama dua rakannya Ahmad Rafi Aiman Ahmad Tumizee,14 dan Mohd Airul Azwa Muhd Daniel,13, mandi di jeti berkenaan pada jam 5.30 petang.

Ahmad Rafi Aiman berkata, sebelum kejadian itu mereka bertiga pergi ke Tebingan Kuching, sebaik balik dari sekolah yang terletak hampir satu kilometer dari Tebingan Kuching.

“Justin (mangsa) memberitahu dia pandai berenang lalu kami bersetuju mandi di jeti itu

“Kali pertama terjun ke sungai, dia berjaya naik ke jeti semula tetapi pada terjunan kedua, dia terkapai-kapai dan terus dibawa arus,” katanya ketika ditemui di lokasi, malam ini.

Mohd Airul Azwa pula berkata, melihat Justin terkapai-kapai dia cuba menghampirinya, namun dia sendiri hampir lemas.

Kakak  pelajar, Justin Cornelies Philip, 14, ditenteramkan ahli keluarganya. FOTO MOHD ROJI KAWI
Kakak pelajar, Justin Cornelies Philip, 14, ditenteramkan ahli keluarganya. FOTO MOHD ROJI KAWI

“Saya berenang balik ke jeti dan ketika itu saya nampak Justin sudah hilang lalu kami menjerit meminta tolong dan beberapa penduduk kampung cuba membantu, namun Justin sudah tidak kelihatan, ” katanya.

Katanya, itu kali pertama mereka mandi di jeti berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sekolah mereka.

Sementara itu, Komander Operasi Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Penolong Penguasa Bomba Nazari Harun berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.40 petang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai lima anggota penyelam Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Batu Lintang, serta lapan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) serta tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sehingga jam 9 malam ini, mangsa masih belum ditemui dan pencarian masih diterus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 9:17 PM
ANGGOTA bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. FOTO MOHD ROJI KAWI
ANGGOTA bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. FOTO MOHD ROJI KAWI