Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Mayat ketiga kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda, hari ini ditemukan kira-kira enam meter dari mayat kedua, hari ini.

Kesemua mangsa yang ditemukan rentung dalam kebakaran itu dikenal pasti sebagai, Lim Yang Kooi, 66, dan isterinya, Lee Chew Fong, 61, serta ibunya, Yong Swee Lan, 92.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata, mayat ketiga itu ditemukan 10.15 pagi di sektor B bangunan iaitu di ruangan tangga rumah kedai berkenaan.

Beliau berkata, mangsa berkemungkinan berada di bilik bawah dan terperangkap di bawah tangga.

"Jarak mangsa kedua dan mangsa ketiga hanyalah enam meter antara satu sama lain.

"Mangsa ketiga itu ditemui di bawah timbunan batu-bata sisa kebakaran namun tidak rentung sepenuhnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mengenai penemuan dua mayat sebelum itu, Awang Hidzel berkata, mayat pertama ditemukan pada 3.19 pagi di ruang tamu, manakala mangsa kedua ditimpa pintu laluan keluar dan mayatnya ditemukan pada 6 pagi tadi.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 12:44 PM