Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Penduduk di kawasan Kuala Kedah dan sekitar bandar raya ini terjejas akibat banjir selepas fenomena air pasang besar sekali lagi berlaku malam tadi.

Bagaimanapun, pada kejadian kali kedua ini, penduduk membuat persiapan lebih awal kerana bimbang paras air naik dengan cepat.

Penduduk Kampung Teluk Yan, di sini, Siti Nurmuliani Ghazali, 36, berkata, banyak barangan dalam rumahnya rosak akibat banjir.

Katanya, dia terpaksa menumpang di rumah adiknya kerana dimaklumkan akan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh minggu ini.

ANTARA kawasan terjejas di Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA kawasan terjejas di Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Memang kawasan rumah saya kerap dinaiki air akibat banjir kilat kerana terletak bersebelahan sungai.

"Tapi fenomena air pasang besar kali ini menyebabkan paras air naik lebih tinggi sehingga mencecah paras pinggang saya dan ramai jiran dah pindah, saya pun pergi ke rumah adik.

"Suami, Mohd Radzi Ahmad, 48, tinggal di sini bersama anak-anak dan mengangkat barang sedikit demi sedikit ke tempat lebih selamat," katanya yang mempunyai lima anak berusia antara dua hingga 19 tahun.

Sementara itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar turut melakukan pemantauan di sekitar kawasan rumah penduduk yang berisiko dinaiki air yang terletak berhampiran sungai dan kawasan pantai di Kuala Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku awal pagi tadi dengan ketinggian ombak setinggi tiga meter, lebih rendah sedikit berbanding pagi semalam (6 November).

Bagaimanapun, pihaknya terus membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko dinaiki air.

Fenomena air pasang besar yang melanda sejak Khamis lalu menyebabkan sebahagian besar kawasan Kuala Kedah dan bandar raya Alor Setar ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 9:29 AM