Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang tergelincir dan tenggelam ke dalam Sungai Langgar, hari ini belum menemui sebarang petunjuk meskipun sudah lapan jam operasi dijalankan.

Pasukan bomba mengalami kesukaran untuk melakukan pencarian disebabkan arus sungai deras disebabkan cuaca hujan sebelum ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra melakukan selaman tiga kali di kawasan sungai berhampiran mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang petunjuk penemuan mangsa di kawasan itu dan operasi masih dilakukan dengan pencarian di permukaan air.

"Anggota PPDA juga menghadapi kesukaran untuk pencarian disebabkan terdapat banyak kayu di bahagian bawah dasar sungai ini.

"Namun kita akan meneruskan operasi SAR sehingga jam 7 malam dan sekiranya mangsa masih belum ditemui, kita akan sambung pencarian di permukaan air menggunakan bot malam ini, sebelum menyambung selaman pagi esok," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ahmad Naufal berkata, kawasan pencarian diperluaskan sehingga 200 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh dan anggota PPDA melakukan selaman 50 meter di kawasan itu.

Beliau berkata, sebelum ini, sungai berkenaan tidak dalam, tetapi hari ini kedalaman mencecah antara empat hingga lima meter disebabkan hujan beberapa hari lalu.

"Operasi hari ini membabitkan 27 anggota bomba dari BBP Pokok Sena, Alor Setar dan Jitra serta bantuan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Sementara itu, menantu mangsa, Mohd Amin Fadullha Muthu, 31, berkata, mereka sekeluarga masih menaruh harapan bapa mentuanya ditemui segera.

ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra melakukan selaman di kawasan pencarian berhampiran mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Langgar.FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra melakukan selaman di kawasan pencarian berhampiran mangsa dilaporkan terjatuh di Sungai Langgar.FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, mereka akan membaca surah Yassin untuk memudahkan pencarian.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi ari ini, mangsa, Ismail Awang, 83, dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Langgar sebelum timbul dua kali dan tenggelam ke dalam sungai.

Mangsa dikatakan keluar bersendirian dengan menunggang basikal dari rumahnya di Jalan Market, di sini, untuk membeli nasi lemak di kawasan Pekan Langgar.

Berita berkaitan:

  • Timbul dua kali sebelum tenggelam
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 7:12 PM