Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Syukur, anak lelaki saya yang juga 'anak merdeka' lahir jam 12.24 pagi hari ini. Lebih manis, dia bayi pertama dilahirkan pada 31 Ogos di negeri ini," kata Mas Ayu Abd Wahid, 39, dari Lembah Bidong, Setiu.

Katanya, sepatutnya, dia dijangka melahirkan anak pada 23 Ogos lalu.

"Saya juga bersyukur kerana anak dilahirkan sihat malah saya juga bersalin secara normal," katanya ditemui pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu Dan Anak (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendaftaran Mohamad Nasir Kareem, wakil Co-opbank Pertama (CBP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mana agensi berkenaan menyampaikan sumbangan kepada bayi merdeka.

Seorang lagi ibu, Nurul Aisyah Mat Yussop, 27, dari Kampung Panji Alam berkata, bayi perempuan yang dilahirkannya adalah bayi merdeka kedua dilahirkan di negeri ini iaitu pada jam 12.49 pagi.

"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi keempat hasil perkongsian hidup dengan suami, Mohd Asyraf Ishak, yang berusia 26 tahun pada hari ini.

"Kelahiran ini amat istimewa dan saya juga bersyukur kerana smeua urusan kami dipermudahkan-Nya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Kasemani Embong berkata, daripada jam 12 tengah malam hingga 10 pagi ini, 34 kelahiran direkodkan di hospital di seluruh Terengganu membabitkan 17 bayi lelaki dan 17 bayi perempuan.

"Di HSNZ, kami merekodkan kelahiran 25 bayi membabitkan 14 lelaki dan 11 perempuan. Di Setiu, kami merekodkan dua kelahiran manakalan masing-masing satu di Dungun, Besut serta Hulu Terengganu.

"Kami menjangkakan 70 bayi merdeka akan dilahirkan di negeri ini sehingga jam 12 tengah malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 4:28 PM
Kasemani Embong (tengah) menyampaikan sumbangan mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu, Co-opbank dan Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pada
Kasemani Embong (tengah) menyampaikan sumbangan mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu, Co-opbank dan Perbandanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pada