PANDANGAN luar Masjid Jamek Seremban.
PANDANGAN luar Masjid Jamek Seremban.

Kebiasaannya seni bina bangunan di Negeri Sembilan dikaitkan dengan unsur Minangkabau kerana sejarah dan hubungan negeri itu yang mengamalkan sistem Adat Perpatih.

Biarpun proses urbanisasi pantas berlaku dengan pelbagai konsep moden dan kontemporari ditampilkan dalam pembinaan bangunan terkini, masih ada bangunan lama dan bersejarah di negeri itu mengekalkan konsep Minangkabau.

Bagaimanapun, berbeza dengan reka bentuk bangunan Masjid Jamek Seremban kerana ia mirip kepada bangunan yang terdapat di Melaka.

Berusia 116 tahun apabila dibina pada 1900, Masjid Jamek Seremban tersergam indah di Jalan Tun Dr Ismail.

Mengikut catatan sejarah, tapak masjid itu diwakafkan Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir yang dikatakan antara pendakwah terkenal ketika itu.

Masjid itu diiktiraf antara yang tertua di Negeri Sembilan dan mungkin di negara ini, sekali gus membuatkan ia begitu unik kerana ketinggian seni binanya yang unggul dan memiliki unsur sejarah.

Malah, ia satu-satunya masjid di negeri berkenaan yang struktur binaannya hampir sama dengan yang terdapat di Melaka.

Berikutan kemajuan pesat di pusat bandar Seremban, kerajaan negeri menaik taraf dan membesarkan masjid itu bagi menampung keperluan jemaah yang meningkat.

Pada awalnya ia hanya mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah tetapi kini boleh menampung sehingga 2,000 orang.

Namun, bangunan utamanya tidak terjejas termasuk menara masjid ini yang dibina pada 1924 yang kini masih kekal tersergam.

Dikelilingi beranda bersaiz 2.5 meter, keluasan ruang induknya antara 30 meter lebar dan 35 meter panjang yang turut mempunyai sebuah kubah.

Masjid ini ada 30 tiang kecil yang mengukuhkan struktur binaannya.

Keunikan seni bina berunsurkan Islam menjadikannya dikagumi ramai sekali gus menjadi tarikan pelancong serta lambang keagungan syiar Islam di Negeri Sembilan.

Eksekutif Masjid Ahmad Hilal Kasim berkata, Masjid Jamek Seremban dipercayai tertua di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, berdasarkan sejarah, pewakaf tapak masjid itu cenderung dengan struktur binaan itu, sekali gus diterjemahkan dengan persetujuan kerajaan negeri.

Menurutnya, walaupun sudah dinaik taraf, struktur asal masih dikekalkan bagi memastikan nilai estetika pada bangunan pusat ibadat itu terus dipertahankan.

“Nilai estetika dan ketinggian seni binanya berunsurkan Islam membuatkan masjid ini menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong luar.

“Malah kami pernah menerima sekumpulan pelatih paderi yang tertarik dengan seni bina bangunan masjid ini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, keindahan landskap dan dekorasi di sekeliling masjid itu juga memberi nilai tambah dalam menyerlahkan konsep masjid dalam taman, sekali gus menjadikan persekitarannya segar dan nyaman.

Ahmad Hilal yang dibantu dua kakitangan tetap berkata, pihaknya berusaha merealisasikan konsep masjid dalam taman dengan memastikan keindahan landskap dan pepohon hijau yang segar.

“Suasana persekitaran yang ceria dan segar mampu memberi impak positif kepada jemaah, tambahan pula masjid ini penuh dengan aktiviti keilmuan sepanjang minggu sama ada pada siang mahupun malam,”. - Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:01 AM