SECARA keseluruhannya, rumah tradisional Negeri Sembilan memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh.
SECARA keseluruhannya, rumah tradisional Negeri Sembilan memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh.
myMetro

Rumah tradisional Negeri Sembilan mempamerkan secara keseluruhan reka bentuk bumbung panjang yang bersifat Minangkabau.

Bahagian bawah atap dan dinding rumah ditutup dengan tebar layar agak besar, sekali gus memberikan identiti cukup kuat dengan nilai estetika tersendiri.

Pada masa sama tebar layar diukir ringkas sekali gus membenarkan pengaliran udara masuk ke dalam ruang atap.

Sarat dengan keunikan, antara lain rumah tradisional Negeri Sembilan antaranya bercirikan reka bentuk atap bertingkat yang dialas daun rumbia.

Biasanya ia mempunyai serambi hadapan dan anjung yang meneduhkan tangga utama untuk masuk ke rumah ibu melalui serambi. Serambi pula dihiasi ukiran kerawang yang bercorak silang-menyilang.

Rekaan tangganya ringkas diikat atau dimatikan dengan rekaan kekunci pada papan yang menarik.

Malah, rumah ibu bersifat terbuka dan disambung ke rumah dapur melalui pintu menghala ke selang yang tidak berdinding dan menjadi pelantar kepada sebahagian fungsi dapur. Ia berperanan sebagai ruang bersembang untuk wanita.

Ukiran indah menyerikan sekeliling rumah terutama bahagian depan serambi.

Bahagian anjung, serambi dan rumah ibu mempunyai aras yang berbeza. Rumah ibu ada ruang yang terluas dan tertinggi. Terdapat bilik di rumah ibu dan tangga menghala ke loteng. Lazimnya loteng dijadikan bilik tidur untuk anak lelaki bujang kerana kecuraman tangga tidak sesuai untuk anak perempuan.

Secara keseluruhannya, rumah tradisional Negeri Sembilan memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh hingga ke rumah dapur.

Paras tingkapnya pula sangat rendah iaitu direka untuk paras orang duduk dan bukannya berdiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2016 @ 5:01 AM