TERSERGAM gagah Masjid Kayu Ulul Albab.
TERSERGAM gagah Masjid Kayu Ulul Albab.
KEPALA tangga berukiran abstrak gambaran ombak dan penyu.
KEPALA tangga berukiran abstrak gambaran ombak dan penyu.
TIANG dan corak pada bahagian tangga.
TIANG dan corak pada bahagian tangga.
WARISAN kerja tangan yang sarat nilai estetikanya.
WARISAN kerja tangan yang sarat nilai estetikanya.
PONDOK tempat pengunjung beristirahat.
PONDOK tempat pengunjung beristirahat.
Norsharuddin Sapian


Kesempatan berkunjung ke Terengganu, Negeri Cantik, Budaya Menarik, baru-baru ini begitu berbaloi dan masih terkesan hingga kini.

Negeri di pantai timur itu ternyata kaya dengan warisan sejarah, hasil kraf dan khazanah alam semula jadi.

Jertih, sebuah bandar dalam daerah Besut di laluan penghubung antara Terengganu dengan Kelantan kini pesat membangun tidak ketinggalan mempunyai destinasi menarik yang unik untuk dikunjungi.

Di sini, terletaknya sebuah masjid yang indah serba unik melambangkan keagungan dan ketamadunan tinggi Islam Nusantara.

Masjid Ulul Albab yang dulunya dikenali dengan nama Masjid Kayu Seberang Jertih terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Jertih antara destinasi wajib singgah jika berkunjung ke Terengganu.

Berlatarkan 90 peratus material kayu cengal manakala selebihnya nyatoh dan balau, masjid itu menawarkan reka bentuk menarik berasaskan seni bina pertukangan Melayu yang diadun dengan ciri Islamik.

Mercu tanda yang tiada tolok bandingan itu bernilai RM12 juta dibina pada 2009 dan mampu menampung 1,500 jemaah pada satu-satu masa. Ia mula digunakan pada 4 Julai 2011.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan nama Masjid Ulul Albab ketika merasmikan masjid berkenaan enam tahun lalu.

Dari persimpangan jalan raya utama, masjid berkenaan terserlah dengan keindahan seni binanya apabila semua pintu utama diukir awan larat, motif bunga dan ukiran ayat suci al-Quran.

Sebenarnya masjid itu dibina bagi menggantikan masjid lama di kawasan tapak asal bangunan yang dibina pada era sebelum kemerdekaan di tapak seluas 0.2 hektar.

Hanya tiang utama bangunan masjid dan lantai menggunakan konkrit, namun permukaannya dilapisi dengan kayu balau.

Bangunan masjid ini setinggi tiga tingkat dan mempunyai serambi iaitu ruang terbuka di tingkat dua sebagai tempat menunaikan solat.

Selain itu, bangunan masjid turut dilengkapi dengan kemudahan bilik mesyuarat, bilik musafir, dewan kuliah, ruang solat untuk orang kelainan upaya (OKU) dan bilik pengurusan jenazah.

Di atas pintu utama masjid diukir dengan ayat suci al-Quran iaitu doa keluar dan masuk masjid, sementara pagar depan mimbar diukir corak tenunan songket Terengganu.

Begitu juga dengan pagar kayu di ruang serambi juga turut berkonsepkan corak tenunan songket negeri itu.

Menariknya masjid itu dibina menggunakan teknik tebuk-pasak yakni tidak menggunakan paku.

Unsur abstrak pada ukiran kayu di kepala tangga masjid pula menggambarkan ombak yang sangat sinonim dengan kehidupan penduduk di pantai timur itu.

Tingkat bawah masjid adalah dewan serba guna untuk sebarang majlis keramaian, sementara tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan.

Reka bentuk perabung lima masjid ini menampilkan ciri tempatan dan nusantara dengan mengambil konsep masjid Kampung Laut Tumpat iaitu antara masjid tertua di negara ini yang dikatakan berusia lebih 250 tahun.

Malah bercirikan masjid Melayu lama hampir sepenuhya yang lazim mempunyai dan lantainya ditinggikan dari paras tanah untuk mengelakkan air serta binatang memasuki masjid.

Bumbungnya berbentuk atap tumpang, bertingkat tiga yang meruncing ke atas untuk melancarkan pengaliran air hujan supaya tidak mudah mereputkan bahan kayu.

Antara tingkat bumbung terdapat ruang berbentuk jendela untuk pengaliran udara dan cahaya berfungsi menyaman serta memberikan keselesaan.

Keseluruhan bangunan masjid dilapisi dinding janda berhias sementara 12 pintu utama ruang solat dihiasi corak awan larat dan pagar mimbar mengambil motif tenunan songket Terengganu.

Enam kepala tangga masjid berkenaan dilakarkan ukiran abstrak yang menggambarkan ombak dan penyu membawa simbol perjalanan belum terhenti dan masih jauh.

Tempayan dan gayung diletak di anak tangga untuk membasuh kaki. Walaupun masjid itu tampil dengan reka bentuk tradisional, ia masih boleh dianggap sebagai karya sezaman yang sewajarnya menjadi kemegahan kepada pencinta resam dan budaya Melayu Nusantara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:03 AM