Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 55 pelajar di negeri ini menjadi yatim piatu akibat Covid-19 bagi tempoh Januari 2020 sehingga September lalu berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dalam tempoh yang sama 1,648 pelajar lagi menjadi yatim iaitu kehilangan ibu atau ayah akibat wabak berkenaan.

Katanya, ia membabitkan sembilan daerah di negeri ini yang mana Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana merekodkan jumlah pelajar yatim tertinggi.

"Rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga menunjukkan secara keseluruhannya seramai 1,648 pelajar menjadi anak yatim bagi tempoh sama.

"Kerajaan negeri amat prihatin nasib yang menimpa kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan mengambil beberapa langkah sokongan membantu mereka," katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, tadi.

Dr Siti Mariah menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) mengenai jumlah anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor.

Menurut Dr Siti Mariah, antara langkah yang diambil kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah mencari orang yang layak menjaga kanak-kanak (pelajar) berkenaan dan jika tiada, mereka akan ditempatkan sementara institusi perlindungan JKM.

"Setakat ini, semua kes anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor dijaga oleh waris terdekat masing-masing," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui Belanjawan 2022 yang lalu mengumumkan akan melaksanakan Bantuan Anak Yatim Covid-19 dengan peruntukan sebanyak RM 1.25 juta.

Bantuan kewangan ini akan memberi manfaat kepada 2,500 anak yatim di seluruh negeri Selangor yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dengan bantuan kewangan sejumlah RM500 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:52 PM