Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sejumlah 363.03 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM10.89 juta dirampas menerusi serbuan di Kampung Baru Ampang pada 20 Ogos lalu.

Menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, dua suspek iaitu lelaki tempatan berusia 23 dan 51 tahun ditahan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan jam 5.20 petang itu, pasukan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di premis berkenaan.

Katanya, turut ditemui adalah 349 bungkusan teh Cina berwarna kekuningan yang mengandungi bahan disyaki methamphetamine di dalam pacuan empat roda yang diparkir di hadapan premis.

"Lanjutan daripada tangkapan dan rampasan berkenaan, seorang lagi lelaki berusia 51 tahun ditahan di lokasi berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 23 tahun bertindak sebagai transporter manakala seorang lagi berperanan sebagai pemantau.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan diambil dari lokasi lain dan ditempatkan sementara dalam kenderaan itu sebelum diedarkan.

"Semakan mendapati hanya seorang suspek mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan saringan awal air kencing juga mendapati kedua-duanya negatif dadah.

"Polis masih giat mengesan dalang sindiket ini manakala dua suspek berkenaan direman sehingga 2 September," katanya.

Arjunaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 11:14 AM