Polis Selangor merampas pelbagai jenis dadah dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 3 Februari lalu. FOTO Ihsan IPK Selangor
Polis Selangor merampas pelbagai jenis dadah dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 3 Februari lalu. FOTO Ihsan IPK Selangor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis Selangor menumpas sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM900,750 dalam tiga serbuan pada 3 Februari lalu.

Dalam serbuan bermula jam 4 petang itu, polis menahan dua lelaki warga tempatan dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah serta dua lelaki warga asing mempunyai status taraf pemastautin tetap yang bertindak sebagai 'runner'.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, dalam serbuan pertama di sebuah tempat letak kereta di tepi jalan di Puchong Jaya, Puchong polis menemui 13 bungkusan teh berisi dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 13.39 kilogram dianggarkan bernilai RM602,550.

"Dalam serbuan itu juga pasukan serbuan turut menemui 13 bungkus plastik berisi 13,900 biji pil estacy dianggarkan bernilai RM250,200.

"Serbuan kedua di sebuah rumah di Kuchai Lama, polis menemui 10 paket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 4.4 kilogram bernilai RM48,000 manakala tiada sebarang rampasan dilakukan di lokasi ketiga iaitu sebuah lagi rumah di Cheras.

"Nilai keseluruhan dadah dirampas adalah RM900,750," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan beroperasi sejak November tahun lalu dan membekalkan bekalan dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati kedua-dua dalang warga tempatan itu tidak mengenali antara satu sama lain bagaimanapun mereka dipercayai berurusan dengan pembekal dadah yang sama daripada sindiket berpusat di luar negara.

Arjunaidi berkata, pihaknya turut menyita dua kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Waja serta Toyota Altis bernilai RM91,000.

"Ujian air kencing mendapati dua dalang itu positif syabu dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran itu dan kesemua suspek kini direman sehingga 10 Februari ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 4:45 PM