Oleh Siti Rohana Idris


Tumpat: Amalan mengayuh basikal sekurang-kurangnya sejauh 50 hingga 60 kilometer (km) setiap hari menjadikan seorang warga emas berusia 72 tahun dari Kampung Sireh di sini, kekal bertenaga.

Samsudin Othman menjadi peserta paling veteran menyertai program Kayuhan Semarak Kemerdekaan Ke-65 tahun 2022 yang diadakan di daerah ini hari ini.

Samsudin yang juga pesara polis berpangkat Lans Koperal berkata, selain berkayuh setiap hari, dia turut mengamalkan pemakanan sihat malah bersyukur kerana sehingga kini, dia tidak menghidap sebarang penyakit.

"Saya sentiasa pegang kata-kata Rasulullah SAW yang mengatakan, punca penyakit adalah daripada perut dan atas sebab itu saya memang sangat menjaga pemakanan.

"Ketika berkhidmat sebagai anggota polis, saya aktif dalam sukan dan sering mewakili daerah serta negeri dalam acara balapan," katanya ditemui.

Samsudin yang berasal dari Segamat, Johor menamatkan perkhidmatan di sebuah balai polis di Bachok dekat sini, pada 2006 dan terus terbabit dengan hobi berbasikal.

Dia kini menyertai kelab basikal Kota Jembal Cycle Club (KJCC).

Katanya, jika sehari tidak dapat berbasikal, harinya ibarat tidak lengkap malah sendinya terasa lenguh.

"Sekurang-kurangnya, saya akan berkayuh sejauh 40km sekitar Kota Bharu dan Tumpat sama ada bersendirian atau bersama rakan," katanya yang menerima plak penghargaan daripada penganjur untuk kategori peserta paling berusia.

Selain Samsudin, sebuah kelab berbasikal dari Kulai, Johor turut diberi penghargaan untuk kategori peserta paling jauh hadir menyertai program kayuhan itu.

Program yang diadakan sempena bulan kemerdekaan itu anjuran Group Gatih Amal (GGA) dan Syarikat MZ Gold dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat serta Jabatan Belia dan Sukan negeri Kelantan yang diadakan di Padang KTMB di sini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Amran Dolah.

Seramai 1,500 peserta menyertai kayuhan itu yang sempurnakan perasmiannya oleh Ahli Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Warga emas, Samsudin Othman, 72, peserta paling veteran menyertai program Kayuhan Semarak Kemerdekaan Ke-65 tahun 2022 yang diadakan di daerah ini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Warga emas, Samsudin Othman, 72, peserta paling veteran menyertai program Kayuhan Semarak Kemerdekaan Ke-65 tahun 2022 yang diadakan di daerah ini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 2:26 PM