MAHDZIR (tengah) menerima Anugerah Perdana Tokoh Ilmuan Negara - UNESCO daripada Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Malaysia Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar. FOTO Bernama.
MAHDZIR (tengah) menerima Anugerah Perdana Tokoh Ilmuan Negara - UNESCO daripada Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Malaysia Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar. FOTO Bernama.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Fasa Satu Pelaksanaan projek menaik taraf capaian Internet di premis Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dijangka bermula akhir tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini pihaknya sedang menunggu jumlah peruntukan yang akan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan Internet terutama bagi Tabika yang terletak di pedalaman.

"Ia adalah sebagai usaha untuk memastikan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas berjalan lancar seterusnya menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Penutup Ekspo Buku Malaysia dan Anugerah Buku Negara 2022 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan bulan depan bagi membincangkan mengenai peruntukan dan kaedah pelaksanaan projek berkenaan.

Selain itu katanya, KPLB juga akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi memastikan capaian internet di premis Tabika Kemas di seluruh negara lebih baik.

"Saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini berhubung projek meningkatkan capaian Internet di 11 ribu premis Tabika Kemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 4:37 PM