FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my


Putrajaya: Sumbangan guru Tabika kian diiktiraf apabila kira-kira 11,000 guru Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bakal dinaik taraf daripada lulusan diploma kepada ijazah sarjana muda tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan naik taraf guru itu yang bakal memberi lonjakan terhadap pendidikan di Tabika Kemas, akan dibuat secara berperingkat dan ia sedang diselaraskan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dari aspek kewangan dan perjawatan.

"Sekarang ini, silibus Tabika Kemas dan Kementerian Pendidikan sama, cuma guru yang ada di Kemas ada yang kelulusan diploma. Oleh demikian, kami mahu tingkatkan kelulusan tenaga pengajar daripada diploma kepada ijazah," katanya.

"(Kelulusan) guru di Tabika Kemas akan ditingkatkan… bukan kita buang mereka tetapi guru yang ada boleh ambil ijazah sarjana muda," katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di sini, tadi.

Pada 5 November lalu, Mahdzir berkata, perjawatan baharu bagi pendidik masyarakat tabika Kemas pada masa depan perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan profesionalisme warga pendidik masyarakat dan menjamin kualiti pendidikan awal kanak-kanak seiring dengan peredaran masa serta kepesatan teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:31 PM