Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sejumlah peruntukan sudah diluluskan untuk menambah fasiliti di Jabatan Meteorologi (METMalaysia) yang dianggap sangat diperlukan dalam menangani perubahan iklim agak ketara kebelakangan ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penambahan itu termasuk memperbanyakkan pusat pencerapan cuaca.

"Ini kerana paten hujan sudah berubah, tiada kemarau dan banjir berlaku bulan Jun ini adalah luar kebiasaan, bermakna kesan cuaca perubahan iklim agak ketara.

"Kita juga akan tambahkan peralatan di pusat (pencerapan cuaca) sedia ada. Kita sebenarnya tidak kekurangan peralatan itu, contohnya apabila berlaku banjir, kita perlukan data mengenai jumlah berapa densiti hujan di satu-satu kawasan.

"Dengan cara itu kita boleh buat kajian terhadap pelan ke depan contohnya baru-baru ini banjir di Baling, Yan dan Janda Baik," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah untuk pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira di Mukim Guntong, Pasir Tumboh, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TUAN Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah untuk pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira di Mukim Guntong, Pasir Tumboh, di sini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Terdahulu Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, merasmikan majlis pecah tanah untuk pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira di Mukim Guntong, Pasir Tumboh, di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, METMalaysia membuat pemantauan 24 jam terhadap situasi cuaca dan amaran awal dikeluarkan hampir setiap sejam kepada orang ramai sama ada menerusi media sosial atau media arus perdana.

Dalam usaha memenuhi visi mencapai tahap sifar karbon menjelang 2050, beliau berkata, komitmen semua pihak sangat diperlukan.

"Kita bagi komitmen di peringkat antarabangsa visi mencapai tahap sifar karbon menjelang 2050 yang mana semua agensi dan peringkat terbabit.

"Dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) setuju untuk kita memperbanyakkan perbincangan untuk kita pastikan semua adaptasi perubahan iklim negara dapat kita pantau serta laksanakan dengan sebaik mungkin dan METMalaysia adalah salah satu komponen penting.

"Baru-baru ini saya juga mempengerusikan mesyuarat di peringkat Asean mengenai isu jerebu merentas sempadan dan Insya Allah bulan depan mesyuarat akan mula di Singapura untuk kita bincang soal kesan perubahan iklim pada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:47 PM