YUSRI (baju kuning) dan Rahiman membawa pengusung jenazah ke kenderaan jenazah yang diinfak Mohd Yusri, hari ini. FOTO Hassan Omar
YUSRI (baju kuning) dan Rahiman membawa pengusung jenazah ke kenderaan jenazah yang diinfak Mohd Yusri, hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: "Daripada terperap tidak digunakan, lebih baik saya jadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria ini untuk membawa jenazah secara percuma.

"Sekurang-kurangnya ia meringankan beban waris," kata pengusaha kedai cuci kenderaan, Mohd Yusri Rojan.

Kata Mohd Yusri, 48, usaha membawa jenazah itu bermula apabila dia membeli MPV berkenaan daripada rakan pada April 2020.

Katanya yang berasal dari Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling dekat sini, dia bagaimanapun jarang menggunakan Naza Ria berkenaan kerana sudah memiliki dua kenderaan, masing-masing sebuah MPV dan kereta.

"Saya mengambil keputusan mengubah suai Naza Ria ini menjadi kenderaan jenazah dan menginfakkannya kepada Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB) yang banyak membuat kerja kebajikan di sekitar Tangga Batu dan negeri ini, minggu lalu," katanya ditemui di Masjid at-Taqwa, Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling hari ini.

Mohd Yusri turut menghasilkan pengusung keranda untuk diinfakkan bersama-sama MPV berkenaan.

Katanya, perkhidmatan membawa jenazah secara percuma itu bertujuan meringankan beban waris selain mengeratkan silaturahim PeKeTB dengan komuniti.

Sementara itu, Pengerusi PeKeTB Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, kenderaan jenazah berkenaan digunakan untuk membawa jenazah dari Hospital Melaka ke kediaman waris selain dari kediaman ke tanah perkuburan.

"Pengusung keranda yang sebelum ini kami tempatkan di Masjid At Taqwa, kami tempatkan secara tetap dalam van jenazah dan hari ini, kami membawa jenazah pertama.

"Ia adalah jenazah bekas imam Masjid At Taqwa, Allahyarham Daud Zainal yang berusia 80 tahun dan meninggal dunia di Hospital Melaka malam tadi akibat jangkitan paru-paru," katanya.

Rahiman berkata, dia dan Mohd Yusri serta anak arwah Daud, Ridzuan, 47, mengambil jenazah itu dari Hospital Melaka sebelum dibawa ke Madrasah al-Qamar di Bukit Beruang di sini, untuk dimandikan.

Ini kerana, pihak pengurusan jenazah di hospital itu pada masa sama, harus menguruskan tiga lagi jenazah lain.

Selepas dimandikan, jenazah arwah Daud dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Darat untuk disemadikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 2:36 PM