SHAARI menunjukkan van jenazah digunakan untuk perkhidmatan membawa jenazah secara percuma. FOTO Nazri Abu Bakar.
SHAARI menunjukkan van jenazah digunakan untuk perkhidmatan membawa jenazah secara percuma. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


“TELEFON pada 3 pagi pun...saya tetap akan datang membantu,” ujar Shaari Ramli yang menawarkan khidmat sebagai pemandu van jenazah sukarela di Bandaraya Melaka.

Shaari, 41, berkata khidmat ditawarkan itu adalah saham akhirat kerana tidak mengharap sebarang upah atau ganjaran atas khidmat diberikan.

Menurutnya, van jenazah itu sumbangan seorang ahli perniagaan yang digunakan khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

“Biasanya saya akan memandu van ini bersendirian ke hospital untuk mengambil jenazah sebelum menghantar ke rumah waris atau ke tanah perkuburan.

“Kalau saya cerita, mungkin ramai tidak percaya. Kebiasaannya, pengusung keranda jenazah di dalam van akan bergegar sebagai tanda akan berlaku kematian.

“Jika perkara itu berlaku, biasanya akan ada waris menghubungi saya untuk membawa jenazah keesokan harinya,” katanya.

Menurutnya, beberapa kejadian aneh pernah berlaku membabitkan jenazah dibawanya, namun dia tidak mahu mengaibkan waris jenazah.

“Biarlah ia menjadi rahsia dan pengajaran buat diri saya," katanya yang tinggal di kampung Bertam Ulu, Melaka.

Shaari berkata, perkhidmatan van jenazah percuma itu diviralkan dalam Facebook oleh seorang rakannya sehingga ia menjadi popular dalam kalangan warga Melaka terutama waris jenazah di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan waris memberitahu mereka tiada wang untuk membayar perkhidmatan membawa jenazah mahu dikebumikan.

“Kebiasaan apabila berlaku kematian mengejut, waris mendakwa tidak mempunyai wang kerana ia berlaku tanpa disangka sama sekali.

“Saya turut berterima kasih kepada ahli perniagaan terbabit yang menyumbangkan van jenazah itu untuk kegunaan ramai sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Setakat ini, dia membantu menguruskan jenazah di sekitar Bandaraya Melaka termasuk Kelemak, Alor Gajah, Alai, Masjid Tanah, Jasin hingga ke Tangkak ,Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 2:53 PM