GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menguatkuasakan Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 untuk memastikan pemilik premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, undang-undang itu memperuntukkan mana-mana arahan PBT jika tidak dipatuhi, lesen pemilik premis perniagaan boleh dibatalkan atau dikenakan denda.

"Saya kira perlu satu paksaan dengan menggunakan peruntukan ini bagi memastikan pemilik premis mengibarkan Jalur Gemilang.

"Kalau dikuatkuasakan, sudah pasti ia akan menimbulkan rasa takut kepada pemilik premis perniagaan mengingkarinya," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas tindakan wajar diambil PBT kepada pemilik premis perniagaan yang masih enggan mengibarkan Jalur Gemilang pada Bulan Kebangsaan.

Katanya, secara umum beliau menganggarkan 95 peratus premis perniagaan tidak mengibarkan Jalur Gemilang.

"Bukan saya saja, malah masyarakat sendiri susah hendak lihat kedai kibarkan Jalur Gemilang. Dalam dua, tiga deret atau 30 kedai mungkin ada satu atau dua yang kibarkan.

"Jadi perkiraan kasar saya hanya tiga hingga lima peratus saja di seluruh negara yang mengibarkan bendera," katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana bangunan komersial sebahagian daripada pusat pentadbiran PBT yang boleh menjejaskan imej negara.

"Fikirkan kesan lain, ia akan memberi imej begitu buruk kalau pelancong, orang asing atau duta luar negara tengok premis perniagaan tidak kibar bendera pada Bulan Kebangsaan sudah tentu ia menunjukkan rakyat kita tidak patriotik.

"Sikap itu tidak baik bukan kerana mereka tiada bendera atau tidak boleh membelinya, tetapi sengaja tidak mahu mengibar Jalur Gemilang. Mungkin tiada 'mood' sebab kurang senang dengan situasi politik dalam negara.

"Itu memang hak mereka, tetapi kibar Jalur Gemilang ini untuk tanah tumpah darah mereka bukan demi kerajaan atau ahli politik, jadi marah macam mana pun mereka harus membezakan isu itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 11:21 AM