MADIHAH bersama ibunya, Noor Asnidar. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MADIHAH bersama ibunya, Noor Asnidar. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Saya nekad bertukar aliran daripada sains tulen kepada aliran sastera, tidak sangka keputusan itu membantu saya memperoleh kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan," kata Madihah Zulkifli, 20.

Madihah tersenarai 10 calon Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 kebangsaan dari Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut, Terengganu memperoleh PNGK 4.00, Gred 5A.

"Lima subjek yang mendapat Gred A Pengajian Am (A), Bahasa Arab (A), Syariah (A), Usuluddin (A) dan Sejarah (A).

"Jika ikutkan saya tidak meletakkan harapan tinggi subjek Pengajian Am mendapat Gred A kerana soalannya agak sukar berbanding subjek lain.

"Keputusan ketika peperiksaan percubaan saya hanya mendapat PNGK 3.3 sahaja, alhamdulillah keputusan peperiksaan sebenar lebih cemerlang," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawek, di sini, hari ini.

Katanya, antara tips yang sering diguna pakai ketika belajar ialah tidak suka bertangguh melakukan kerja serta terus membuat ulang kaji sesuatu subjek selepas guru mengajar dalam kelas.

"Saya memanfaatkan sepenuhnya waktu siang serta memberikan fokus ketika guru sedang mengajar sama ada dalam kelas atau kelas secara dalam talian.

"Saya jarang mengulang kaji hingga lewat malam atau bangun terlalu awal pagi kerana lebih mengutamakan rehat secukupnya supaya badan serta minda lebih bersedia untuk belajar," katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Sementara itu, ibunya, Noor Asnidar Ali, 51, berkata, dia bersyukur dengan keputusan cemerlang anaknya dan berharap anak keduanya kini turut mengambil STPM akan mengikut jejak langkah kakaknya kelak.

"Pada awalnya dia hanya memeriksa keputusan melalui dalam talian dan hanya mengetahui tersenarai dalam 10 calon cemerlang kebangsaan selepas dimaklumkan guru ketika pengumuman peperiksaan dibuat di sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:33 PM