Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kawasan batu granit porfiritik, Gunung Bujang Melaka di Kampar yang tular di media sosial baru-baru ini berpotensi diangkat menjadi tapak geotapak baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berikutan itu pemantauan dan perbincangan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), pemilik tanah dan Taman Negeri akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji kesesuaian lokasi berkenaan.

"Kita akan mulakan proses untuk berunding dengan pemilik tapak untuk melihat bagaimana kita boleh mengangkatnya sebagai geotapak.

"Beberapa aspek yang perlu kita lihat ialah akses, keselamatan dan nilai geotapak itu sendiri yang mana itu belum dilakukan mana-mana pihak lagi," katanya pada sidang selepas merasmikan majlis penutup Program Reskill dan Upskill Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu@Geoguide Geopark Lembah Kinta, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Nizarul Ikram Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Nolee Ashilin berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sudah menghubungi pemilik tanah berkenaan.

"Kita akan meminta Taman Negeri bersama-sama pihak JMG untuk melakukan pemantauan awal bagi kita melihat samada betul atau tidak kita boleh angkat kawasan itu sebagai geotapak yang baru.

"Ini kerana lokasi berkenaan adalah atas tanah persendirian, jadi konsepnya ia memerlukan kesanggupan pemilik tanah dan perbincangan antara pemilik dengan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, justeru orang ramai diminta bersabar terlebih dahulu sebelum kerajaan negeri mengumumkan lokasi adalah selamat untuk dikunjungi.

"Ia ada isu keselamatan di situ kerana apabila ia menjadi viral orang cuba masuk, tetapi lokasi ditutup kerana bimbang daripada segi keselamatan mungkin ada kemalangan yang akan berlaku.

"Itu antara faktor utama kenapa pemilik tanah tidak benarkan masuk, jadi kita menasihati untuk bersabar dahulu untuk kita membuat pengumuman selepas ini sekiranya tempat itu selamat untuk dilawati dan sesuai untuk dikunjungi," katanya.

Terdahulu, tular di pelbagai platform media sosial gambar dan video lokasi baharu yang dipanggil sebagai batu granit porfiritik, Gunung Bujang Melaka di Kampar di Perak yang mempunyai pemandangan menarik dan luar biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 4:21 PM
DATUK Nolee Ashilin Mohamed Radzi (duduk tiga kanan) bersama peserta bergambar pada Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Reskill dan Upskill Ekopelancogan dan Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu @ Geoguide Geopark Lembah Kinta di Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
DATUK Nolee Ashilin Mohamed Radzi (duduk tiga kanan) bersama peserta bergambar pada Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Reskill dan Upskill Ekopelancogan dan Kursus Asas dan Lanjutan Jurupandu @ Geoguide Geopark Lembah Kinta di Ipoh. FOTO L.MANIMARAN