Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Kerajaan negeri mengarahkan siasatan dilakukan terhadap struktur baharu yang didakwa sebagai tempat ibadat dibina secara haram di dua gua batu kapur sekitar Ipoh termasuk satu daripadanya dalam kawasan yang diwartakan sebagai Geotapak.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, arahan dikeluarkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi memantau Gua Tambun iaitu gua prasejarah yang diwartakan sebagai Geotapak.

Katanya, arahan turut diberikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk siasatan ke atas gua batu kapur di Bandar Seri Botani, Ipoh yang dikatakan turut menjadi 'mangsa' pembinaan tempat ibadat secara haram.

"Sebahagian Gua Tambun adalah Geotapak yang diletakkan di bawah pemantauan MBI. Namun sebahagiannya secara tradisinya sejak dahulu memang ada rumah ibadat di situ.

"Saya kena semak balik sebab apa yang kita lihat (dakwaan rumah ibadat haram) kalau tidak salah saya adalah pintu masuk yang mungkin ditambah dengan struktur baharu. Jadi saya akan minta MBI buat semakan yang mana jika ia didirikan secara haram, kita akan amil tindakan sewajarnya.

"Bagi gua di Bandar Sri Botani, kerajaan negeri sudah mengarahkan PDT kawasan itu menyiasat sama ada struktur yang dikatakan baharu dibina itu, dibenarkan atau tidak. Sekiranya tidak, tindakan akan diambil di bawah Kanun Tanah Negara.

"Dakwaan struktur haram dibina dalam gua ada banyak sekarang ini sampaikan saya pun pening," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Warisan Bandar Taiping 2.0 di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT), di sini hari ini.

NOLEE Ashilin (kanan) ketika menghadiri Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Warisan Bandar Taiping 2.0 di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NOLEE Ashilin (kanan) ketika menghadiri Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Warisan Bandar Taiping 2.0 di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Mohd Faidzal Hamzah, dan Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir.

Nolee Ashilin berkata demikian selepas diminta mengulas isu yang tular di Facebook berkaitan pembinaan struktur tempat ibadat dipercayai secara haram di dua gua terbabit.

Gua Tambun yang terletak di bahagian barat Gunung Panjang dan termasuk antara 19 kawasan diwartakan sebagai Geotapak dalam kawasan Geotaman (Geopark) Lembah Kinta, mempunyai lukisan purba Zaman Neolitik berusia antara 3,000 hingga 12,000 tahun.

Status Gua Tambun sebagai Geotapak masih kekal dan dipantau MBI dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara yang mana disebabkan itu peruntukan masih disalurkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kawasan itu dalam keadaan selamat dan terjaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:19 PM