PENYELIDIK TNB Research Md Fauzan Mohd Yapandi (kiri) dan Pegawai Perikanan Asfarizal Masmok (dua dari kiri)mendengar penerangan mengenai kedudukan kawasan pembiakan aruhan di Kapar, Selangor.
PENYELIDIK TNB Research Md Fauzan Mohd Yapandi (kiri) dan Pegawai Perikanan Asfarizal Masmok (dua dari kiri)mendengar penerangan mengenai kedudukan kawasan pembiakan aruhan di Kapar, Selangor.
SEBAHAGIAN benih yang dicedok menggunakan tangguk bergalah untuk kajian.
SEBAHAGIAN benih yang dicedok menggunakan tangguk bergalah untuk kajian.
KETUA Unit Alam Sekitar TNB Research Mohd Noh Ahmad (kiri) dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Pentaksiran Impak, Institut Penyelidikan Perikanan DOF Ku Kassim Ku Yaacob (tiga dari kanan) memulakan aktiviti penaburan induk kerang di lokasi pembiakan aruhan.
KETUA Unit Alam Sekitar TNB Research Mohd Noh Ahmad (kiri) dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Pentaksiran Impak, Institut Penyelidikan Perikanan DOF Ku Kassim Ku Yaacob (tiga dari kanan) memulakan aktiviti penaburan induk kerang di lokasi pembiakan aruhan.
Mohamad Hussin


Kerang atau nama saintifiknya anadara granosa bukan saja menjadi kesukaan orang ramai terutama penggemar makanan laut tapi juga mampu menjana pendapatan lumayan kepada penternak dan pengutip.

Kerang dihasilkan melalui aktiviti penternakan dijalankan di pesisir pantai. Selangor pengeluar kerang kedua terbesar di Malaysia selepas Perak.

Pada tahun 2000 pengeluaran kerang di Selangor 7,484 tan metrik daripada keluasan kawasan ternakan 954 hektar.

Sementara pada tahun 2006 pengeluaran kerang menurun kepada 1,827 tan metrik berbanding tahun sebelumnya iaitu 9,398 tan metrik.

Penurunan drastik ini menyebabkan Jabatan Perikanan mengambil langkah menubuhkan Kebun Kerang Selangor (KKS) pada tahun 2007 dengan tujuan melonjakkan kembali penghasilan kerang.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata, hasilnya pada tahun 2008 pengeluaran kerang melonjak kepada 14,750 tan metrik dan seterusnya memuncak pada tahun 2010 iaitu 41,410 tan metrik.

Namun sejak itu, katanya, pengeluaran kerang kembali suram dengan hanya 3,327 tan metrik dihasilkan pada tahun 2015. Pelbagai faktor dikenal pasti penyebab keadaan ini.

Beliau berkata, antara faktornya adalah perubahan habitat kerang yang disebabkan pembangunan pesat di kawasan daratan.

“Bagi mengatasi masalah itu, Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan (DOF) melaksanakan kajian pembiakan aruhan kerang di sekitar perairan Kapar bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Research Sdn Bhd.

“Dengan mengambil kira faktor kerang membiak secara sebaran dan pembiakannya boleh diaruhkan dengan faktor renjatan suhu.

“Eksperimen dijalankan di lokasi berhampiran Stesen Janakuasa Kapar Energy Venture (KEV) di Selangor. Stesen ini menggunakan air laut yang disedut melalui paip dan dibuang kembali ke laut bagi tujuan penyejukan jana kuasa,” katanya.

Menurutnya, air buangan ini mempunyai suhu sekitar 36 darjah Celsius iaitu lebih panas daripada suhu air normal iaitu sekitar 31 darjah Celsius.

“Pembiakan akan berlaku apabila kerang diaruhkan dengan peningkatan suhu mengejut sebanyak lima darjah Celsius. Kajian bersama ini dimulakan pada Jun tahun lalu bagi tempoh masa setahun.

“Selain itu kajian mendapati wujudnya lokasi di dasar laut berhampiran Stesen Janakuasa KEV yang sesuai untuk eksperimen pembiakan aruhan kerang,” katanya.

Ismail berkata, dalam kajian ini, hampir 10,000 kilogram (kg) kerang dewasa dengan purata saiz 33 milimeter (mm) dengan majoritinya bersedia untuk bertelur ditaburkan secara serakan di lokasi berkenaan pada Julai dan September tahun lalu.

“Tarikh berkenaan dipilih kerana pembiakan aruhan dijangka terjadi ketika air pasang besar yang berlaku pada Oktober dan November tahun lalu.

“Aruhan juga dilakukan ketika air surut purbani terendah (LAT) pada penghujung Januari lalu. Ketika ini, perubahan suhu mengejut hingga lima darjah Celsius selama hampir tiga jam akan berlaku di dasar laut ketika LAT.

“Ia juga ketika berlaku perbezaan kadar air pasang dan surut terbesar harian (GT), apabila air laut di lokasi ini boleh surut antara satu hingga dua meter kedalaman,” katanya.

Beliau berkata, ia diulang selama tiga kali ketika keadaan air berkenaan dan hanya berlaku dua kali setahun.

“Keadaan air surut terendah ini memungkinkan air panas buangan daripada Stesen Janakuasa KEV sampai kepada kerang yang berada di dasar laut menyebabkan pembiakan aruhan berlaku.

“Kajian mendapati berlaku kejatuhan benih dalam kuantiti sederhana November tahun lalu, sementara kejatuhan benih pada Februari lalu banyak dan meliputi kawasan luas dari Kapar hingga ke Kuala Selangor.

“Awal Mac lalu, kaji selidik yang dijalankan penyelidik Jabatan Perikanan menemui benih kerang bersaiz 3 hingga 7mm dalam kuantiti banyak di sekitar pantai kawasan berkenaan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, penemuan ini membuktikan kajian pembenihan aruhan kerang di kawasan ini berjaya. Benih yang terhasil ini berpunca daripada pembiakan aruhan yang berlaku ketika LAT pada penghujung Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:56 AM