Ahmad Hamzah melepaskan benih kerang di perairan Merlimau - Sebatu. FOTO NURALIAWATI SABRI
Ahmad Hamzah melepaskan benih kerang di perairan Merlimau - Sebatu. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri

Jasin: Melaka bakal menjadi pengeluar kerang terbesar negara apabila kebun kerang berkeluasan 330 hektar bakal diusahakan tahun hadapan.

Program kebun kerang itu berpontensi menghasilkan 1,600 tan metrik pendaratan setahun.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pada peringkat ini hanya tiga lot sahaja yang diusahakan membabitkan keluasan 63 hektar di kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) di sepanjang perairan Merlimau hingga ke Sebatu di sini.

Beliau berkata, daripada 550 hektar kawasan ZIA, Jabatan Perikanan mengenal pasti 330 hektar yang sesuai bagi ternakan kerang dan diusahakan sebagai kebun kerang.

"Matlamat kita untuk menjadi salah satu daripada pengeluar kerang di Malaysia. Di Melaka memang sedia ada kerang tetapi tidak banyak dengan anggaran 7.5 tan sahaja.

"Kawasan laut di sini yang berlumpur di sini juga dilihat sangat bersesuaian untuk ternakan kerang selain ciri-cirinya yang berkualiti dan mempunyai kepadatan isi yang baik.

"Sebagai permulaan kami melancarkan program ini di tiga lot dan setiap satunya berkeluasan 21 hektar membabitkan 30 peserta," katanya di Jeti Nelayan Merlimau di sini, tadi.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran kebun kerang Melaka yang turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon.

Ahmad berkata, Jabatan Perikanan negeri akan menilai hasil kerang itu selepas tempoh empat bulan dan seterusnya akan memperluas ternakan itu di lot-lot lain.

Beliau berkata hasil ternakan kerang itu juga dianggarkan mampu meraih RM10.6 juta menjelang hujung tahun 2030 dengan anggaran pendapatan bagi setiap peserta sekitar RM2,600 hingga RM3,500 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:47 PM