Mohd Najib dibantu anaknya di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya. FOTO OMAR AHMAD
Mohd Najib dibantu anaknya di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: "Ini ujian berat buat kami, mujur saya masih bernyawa, jika tidak keluar rumah (ketika ribut) pasti kayu palang bumbung (rumah) terkena saya," kata pemandu lori Mohd Najib Sulaiman, 50.

Mohd Najib yang baru sebulan menjalani pembedahan kecil membuang tiga jari di kaki kiri akibat penyakit diabetis antara mangsa ribut di Flat Ros Merah di Taman Johor Jaya di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian dia sedang berbaring di kerusi di ruang tamu sebelum diminta keluar rumah oleh isterinya, Norshaliza Othman, 47.

"Isteri dengar bunyi kuat dua kali, kali ketiga selepas keluar bumbung rumah terus tercabut. Disusuli hujan lebat dalam rumah dengan kayu palang yang terjatuh.

"Dulu pernah jadi ribut tetapi tidak seperti ini kuatnya sehingga enam bumbung blok terbang. Kayu dan zink atas jatuh depan mata saya, tidak dapat bayangkan jika lambat keluar pasti terkena.

"Alhamdulillah bantuan yang dihulurkan banyak pihak termasuk kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), tetapi saya mengharapkan bumbung rumah flat itu segera dibaiki kerana hanya itu tempat kami berteduh," katanya sebak.

Mohd Najib berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, suri rumah yang juga ibu kepada lima cahaya mata, Juraizan Abd Wahab, 38, mengharapkan bumbung flat yang rosak segera dibaik pulih.

Katanya, ketika ini sukar baginya menguruskan anak kecil dan ada yang masih bersekolah dari PPS.

"Anak saya masih kecil, tiga bersekolah berusia 13, 12 dan lapan tahun. Manakala dua lagi berusia tiga tahun dan sembilan bulan.

"Apa pun, terima kasih segala bantuan yang meringankan beban kami, saya harapkan rumah kami pulih seperti biasa dan kami dapat hidup seperti sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:46 PM